Tuesday, April 19, 2011

SINDIKET KAHWIN ATAU TULIN?

SINDIKET KAHWIN ATAU TULIN ?

Anda dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai agen-agen yang menguruskan pakej perkahwinan di Selatan Thailand. Sila buat tinjauan terlebih dahulu sebelum memilih mana-mana agensi tersebut kerana ada agensi yang tidak bertanggung-jawab dan menipu pasangan yang ingin dan yang telah berkahwin.


Pastikan bahawa agensi yang anda pilih mudah dihubungi samada sebelum atau selepas selesai urusan perkahwinan di Thailand. Sekiranya timbul masalah dibelakang hari dimanakah anda boleh mencari mereka, nama orang yang menguruskan, alamat lengkap mereka dan pastikan nombor telefon dan lain-lain untuk dhubungi kelak... Jika boleh bercakap dan bertanyalah mereka semua perkara yang berkaitan dengan urusan ini. Buat penilaian dan pertimbangan yang sewajarnya sama ada anda yakin atau tidak dengan perkhidmatan yang bakal anda perolehi dari agensi ini.


Pastikan samaada orang yang menguruskan pakej ini bertindak sebagai broker sahaja atau melibatkan sepenuh masa bersama anda dari awal hingga selesai proses perkahwinan ini. Adakah beliau turut mengiringi anda bersama atau setakat urusan di Malaysia sahaja dan urusan seterusnya diserahkan kepada agensi di Thailand. Ini ialah untuk mengelakkan anda daripada diekploitasi oleh agensi di Thailand yang mencari helah untuk mendapatkan duit tambahan. Bukan semua agensi di Thailand tidak boleh dipercayai tetapi sebagai peringatan dan kewaspadaan lebih baiklah kita berhati-hati, kerana kita tidak kenal siapa di sana dan kita tidak boleh bertutur dan memahami bahasa Thai.


Pastikan bahawa semua urusan dokumen seperti Sijil Nikah, Surat Pengesahan Majlis Agama Islam Songkhla dan Surat Pengesahan daripada Konsul Malaysia tulin dan siap samaada pada hari yang sama atau pada tarikh yang lain. Jika tidak dapat pada hari yang sama, pastikan semua dokumen tersebut dihantar kepada anda dalam tempoh yang dijanjikan.


Pastikan juga bahawa anda tidak akan tertipu dengan nikah sindikit yang beroperasi di kedai kopi dan menggunakan jurunikah tidak bertauliah.  Mungkin anda akan diberi surat nikah palsu atau Sijil Nikah yang bertandatangan dan cop palsu. Untuk pengetahuan anda semua urusan akad nikah di Selatan Thailand dikendalikan oleh Kadhi atau Naib Kadhi yang diberi tauliah oleh Majlis Agama Islam mengikut Wilayah masing-masing. Semua ada 30 orang Kadhi dan Naib Kadhi yang bertauliah. Anda boleh minta agensi atau pengurus nikah ini menunjukkan rekod perkhidmatan mereka dengan menyemak salinan fotostat semua dokumen pasangan yang pernah menggunakan perkhidmatan mereka. Jika boleh dapatkan nombor telefon pasangan yang pernah berkahwin dan tanyalah mereka berkaitan perkhidmatan yang diberi sama ada mereka berpuas hati atau tidak.


Pastikan bahawa kos pakej yang dikenakan bersih dan tidak ada kos tersembunyi. Adakah kos ini hanya untuk perkhidmatan broker sahaja tidak termasuk kos Jurunikah/Kadhi dan saksi serta duit bayaran pengesahan Majlis Agama Islam Songkhla dan Bayaran pengesahan dokumen di Pejabat Konsul. Adakah kos yang dikenakan hanya untuk sesi akad nikah sahaja dan proses pengesahan seterusnya kena buat sendiri atau kena upah orang pergi buat sekali lagi. Kalau kena upah runner buat pengesahan maknanya anda terpaksa membayar duit tambahan sekali lagi.  Mintak agensi jelaskan dengan terperinci supaya tidak timbul perbalahan selepas anda berada di Thailand.


Pastikan agensi yang menguruskan membantu anda dalam urusan pasport seperti mengisi borang imigeresen Thailand untuk masuk ke Thailand dan duit upah cop paspot anda semasa hendak pergi dan semasa hendak pulang dan samada bayaran ini termasuk dalam harga pakej yang ditawarkan.


Pastikan juga samada kos makan minum dan tempat tinggal jika bermalam termasuk dalam pakej yang ditawarkan.


Pastikan juga sama ada tempat yang hendak dituju itu berisiko atau tidak. Maknanya adakah tempat ini aman dan bebas dari gangguan tembak menembak dan letupan bom. Keutamaan hendaklah diberi kepada keselamatan diri anda. Sebarang kemungkinan yang berlaku tidak dapat dielakkan.


NIKAH KAHWIN DI THAILAND

NIKAH DI THAI MUDAH DAN MURAH


Adakah bernikah di Thailand mudah dan murah? Ramai menyangka bahawa bernikah di selatan Thailand menelan belanja beribu-ribu ringgit kerana kononnya perlu melibatkan peranan orang tengah atau sindiket bagi mengatur proses itu.


Dan ramai pasangan yang menyeberang sempadan bersedia untuk berbelanja asalkan tiada lagi halangan yang akan merencatkan atau menggagalkan hasrat mereka. Mereka ini biasanya bersedia untuk menjalani upacara pernikahan di mana sahaja asalkan hasrat murni mereka tercapai.

Sebenarnya prosedur untuk menikah di sana amat mudah dan kosnya juga rendah tetapi ramai yang dikatakan menjadi mangsa kerana mereka terdesak dan tidak berpengetahuan bagi menguruskannya sendiri atau mendapat bantuan rakan atau orang yang mereka boleh percayai.


Amat ramai yang ditipu oleh sindiket, sekiranya mereka berkahwin bukan melalui Majlis Agama Islam. Banyak masalah akan timbul seperti sijil perkahwinan palsu dan sukar untuk didaftarkan di negara masing-masing.

Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla mempunyai ramai wakil (jurunikah) di beberapa daerah dalam wilayah Songkhla yang bertaraf Naib Kadhi. Hanya Sijil Nikah daripada Naib Kadhi inilah sahaja yang diiktiraf untuk disahkan. Sekiranya mereka berkahwin menggunakan sindiket, MAIS tidak akan bertanggungjawab. Semua pasangan yang berkahwin di sini (MAIS), rekod mereka akan disimpan sebagai rujukan yang sah.


Adalah menjadi peraturan sebelum pasangan dinikahkan, pasangan terbabit akan menjalani temuduga ringkas oleh Naib Kadhi, yang akan menjelaskan implikasi perkahwinan mereka dan selepas dinikahkan mereka akan diberi nasihat dan penerangan tentang tanggung-jawab sebagai suami dan isteri dan rukun berumah tangga yang perlu diikuti dan dilaksanakan sepanjang hayat.


Keterlanjuran dalam hubungan serta halangan keluarga kini menjadi punca utama pasangan dari Malaysia lari berkahwin di selatan Thailand, di samping hasrat berpoligami tanpa kebenaran isteri pertama. Kegagalan memenuhi keperluan hantaran, mas kahwin serta hadiah yang mahal pula, mendorong pasangan dari Malaysia, Brunei, Singapura dan lain-lain datang berkahwin di Selatan Thailand.


Setiap hari ramai pasangan dari Malaysia dan luar negara datang bernikah di Songkhla. Saya tidak menghadapi sebarang masalah menguruskan perkahwinan yang diharapkan pasangan terbabit, asalkan mereka memenuhi syarat ditetapkan, termasuk masuk ke Thailand menggunakan dokumen perjalanan yang sah serta memenuhi syarat mengikut hukum syarak. Selain daripada itu MAIS akan memastikan semua undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh Enakmen undang-undang syariah di Malaysia akan di patuhi dan menjadi rujukan bagi melangsungkan perkahwinan pasangan dari Malaysia.


Semua urusan pernikahan dibuat secara telus, bertempat dan beretika dan penuh tanggung-jawab dan bukan dikedai kopi atau dibawah pokok seperti yang dibuat oleh sindiket palsu. Pasangan yang di bawa ke Pejabat Kadhi atau Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla akan di akadnikahkan dengan tertib tanpa risiko diperdayakan.

Bagi memudahkan urusan pernikahan ini pasangan dinasihatkan supaya datang lebih awal supaya semua urusan akad nikah, pengesahan MAIS dan Konsulat Jeneral Malaysia dapat di bereskan pada hari yang sama.


KEPUTUSAN DITANGAN ANDA. BUATLAH PILIHAN YANG BIJAK. SAYA HANYA MEMBANTU MEREKA YANG MEMERLUKANNYA.


Biar apa pun sebelum anda memilih untuk berkahwin di Thailand, adalah lebih baik sekiranya anda melangsungkan perkahwinan anda di Malaysia kerana lebih terjamin dan tidak perlu memikirkan tentang mendaftarkan semula pernikahan anda nanti. Anda juga perlu memikirkan soal keluarga anda dan orang-orang yang lebih menyayangi anda dan sebagainya.

Saya bukanlah hendak menggalakkan pasangan untuk bernikah di Selatan Thailand, tetapi jika segala usaha untuk bernikah di Malaysia tidak dapat dilaksanakan, barulah anda pilih jalan keluar ini agar hasrat murni anda untuk berumahtangga tercapai, walaupun ada pihak yang terluka dan berduka demi mengelakkan menanggung dosa hidup tanpa nikah dan menghindarkan dari perkara-perkara yang tidak diingini menimpa anda dan pasangan anda lebih baiklah anda berkahwin dengan segera!


Semoga ALLAH memudahkan semua urusan kita dan memberkati niat murni kita ini. AMIN YA RABBAL ALAMIN.